Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Alhamdulillah, Bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama berkumpul pada Majlis Perasmian Pameran Diploma Fakulti Seni Lukis & Seni Reka TUNAS ILHAM ke 16 yang diadakan pada pagi ini. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakam rasa terima kasih diatas penghormatan yang diberikan oleh pihak Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka kerana menjemput saya bagi merasmikan Pameran Tunas Ilham kali ke 16, UiTM Melaka. Saya difahamkan bahawa hasil karya di dalam pameran ini melibatkan 141 pelajar-pelajar semester akhir dari empat Program Diploma Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka. Melalui program seumpama ini, pelajar UiTM kursusnya dari FSSR dapat memperkembangkan ilmu serta kemahiran yang dipelajari serta dapat menjalinkan kolaborasi diantara industri kreatif serta melahirkan graduan-graduan yang kompetetif di peringkat kebangsaan malahan diperingkat antarabangsa. Bagi pensyarah FSSR UiTM Melaka pula, ini merupakan satu persediaan untuk mereliasasikan harapan UiTM untuk melihat penubuhan Hab Media Kreatif dan Teknologi di UiTM Melaka. Sebagai langkah bagi membantu meletakkan mahasiswa sentiasa berada di landasan yang betul, saya percaya pihak universiti akan terus menyokong pelbagai program yang mengkhususkan kepada ‘soft skill’ para pelajar termasuklah melalui program-program seumpama ini. Saya sesungguhnya akan sentiasa menyokong sepenuhnya program-program yang mampu memberi impak terhadap pembangunan pelajar di universiti ini. Hadirin yang dihormati sekalian, Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada para ibu bapa kerana dengan sokongan, restu dan doa tuan/puan, dapat mempermudahkan lagi perjalanan pengajian anak-anak tuan/puan di UiTM ini. Dengan kehadiran tuan/puan ke majlis ini pada hari ini dapat menyuntik semangat kepada anak-anak tuan/puan untuk melakukan tugasan akhir Diploma dengan lebih baik dan boleh dibanggakan. Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian, Akhir sekali, saya ingin mengucapkan sekali lagi setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada UiTM Melaka dan para pensyarah kerana berjaya mengadakan program yang sangat bermanfaat ini. Tanpa sokongan dan kerjasama tuan puan, program sebegini tidak akan boleh dilaksanakan dengan jayanya. Dengan lafaz bismillahhirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Pameran Diploma TUNAS ILHAM yang ke 16 Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Melaka. Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Prof. Dato' Dr. Abdullah Mohamad Said Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi MARA, |
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Saya ingin merakam sekalung penghargaan dan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada warga Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Melaka diatas kejayaan menganjurkan Pameran Diploma Tunas Ilham ke 16, 2015 ini. Ucapan Tahniah kepada para pensyarah serta para pelajar tahun akhir di atas pencapaian ini. Melalui pameran ini, pelajar bukan sahaja didedahkan dari aspek akademik tetapi juga dari aspek komunikasi dan juga kemahiran sosial. Gabungan ketiga-tiga aspek ini, dapat mempersiapkan graduan FSSR yang berdaya saing di bidang pekerjaan kelak. Pameran Tunas Ilham ke 16 ini merupakan satu platform dimana bakal pelajar UiTM serta ibubapa, mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai program-program yang terdapat di FSSR UiTM Melaka. Sekali lagi, tahniah dan syabas! Prof Madya Dr Mohd Adnan Hashim Rektor Universiti Teknologi MARA, Melaka |